Moderator terpanggil untuk menulis entri susulan pertanyaan yang dianggap bernas oleh beberapa ahli berdaftar di sini. Soalannya lebih kurang sama dengan pertanyaan sebelumnya, namun ia lebih menjurus kepada keahlian alumni itu sendiri.
Kesempatan ini, moderator mahu menerangkan tentang status keahlian alumni berdasarkan permasalahan atau kemusykilan yang timbul beberapa hari lepas. Izinkan moderator untuk singkap semula pertanyaan yang diajukan.
Situasinya begini. Jika seseorang itu daftar masuk ke MRSM Pendang untuk menduduki tingkatan 1 dan beliau tamat sehingga tingkatan 3 selepas peperiksaan PMR, kemudian beliau tidak sambung tahap menengah atas di MRSM Pendang kerana berpindah ke salah sebuah MRSM bertaraf BITARA. Maka, yang menjadi kemusykilannya, adakah atau bolehkah individu dalam situasi tersebut boleh mendaftar sebagai Alumni MRSM Pendang?!
Jawapan moderator pula senang dan jawapan ini berdasarkan kehendak dan konsep yg ditentukan oleh moderator sendiri mengikut kesesuaian yang sudah diambilkira. Orang tersebut jika masih belajar di MRSM lain (BITARA) ketika ini, maka beliau tidak boleh (atau tidak layak) mendaftar sebagai Alumni MRSM Pendang. Tetapi jika beliau sudah tamat tingkatan 5 dan SPM di MRSM BITARA tersebut, maka beliau boleh menjadi Alumni MRSM Pendang dan juga MRSM BITARA itu sendiri.
Konsep yang digunapakai dalam menentukan peraturan ini amat mudah. Selagi seseorang itu masih belum tamat tingkatan 5 di MRSM yang seseorang itu belajar, maka beliau tidak boleh mendaftar sebagai Alumni MRSM terdahulu. Namun, jika seseorang itu sudah tamat belajar dan bergraduasi tingkatan 5 di MRSM tempat terakhir seseorang itu belajar, maka seseorang itu boleh mendaftar sebagai Alumni kedua-dua MRSM.
Sebelum ada orang yang tidak faham dan tidak berpuas hati dengan peraturan ini, moderator kena mengingatkan para pembaca dan ahli Alumni yang lain bahawa peraturan ini ditentukan oleh moderator sendiri dan sudah dibawa berbincang dengan beberapa orang Alumni lain. Maka, mungkin konsep ini boleh berubah. Tetapi, seperti yang moderator tekankan dalam perenggan di atas, konsepnya mudah, biarkan seseorang itu tamat belajar di MRSM dahulu baru boleh teringin nak daftar sebagai Alumni.
Moderator faham sistem Alumni ini bukannya sama dengan sistem ANSARA seperti di MRSM yang sudah lama bertapak di Malaysia. Sebab itu moderator tetapkan peraturan sebegini kerana mahu wujudkan sistem dan organisasi Alumni yang utuh dan bagus sebelum kita semua dapat wujudkan ANSARA Pendang. Lagipun, usia MRSM Pendang masih muda dan rata-rata ramai ahli Alumni masih lagi belajar sebagai mahasiswa universiti tak kira dalam atau luar negara. Hanya angkatan ke-empat dan ke atas sahaja yang mempunyai ahli yang sudah bekerja. Keadaan ini membolehkan konsep ini digunakan untuk memantapkan lagi organisasi Alumni dalam masa terdekat.
Walaubagaimanapun, moderator yakin mesti sudah ada bekas pelajar MRSM Pendang yang masih belajar di tingkatan 4 atau 5 di MRSM BITARA mendaftar di Sistem Maklumat Alumni MRSM Pendang. Maka, moderator tidak akan menghapuskannya malah akan menyimpan di database lain untuk dijadikan senarai simpanan menunggu (waiting list record). Dengan jawapan yang diberikan dalam entri ini, moderator juga tidak menghalang sesiapa bekas pelajar MRSM Pendang yang masih belajar di MRSM lain untuk mendaftar di SMA ini. Mungkin selepas ini pihak moderator akan menghubungi Alumni 'muda' ini untuk mendapat kepastian dahulu sebelum apa-apa tindakan dilakukan.
Maka, moderator berharap agar semua pembaca terutama para ahli Alumni yang sudah mendaftar mahupun baru berhasrat nak mendaftar supaya faham akan konsep peraturan ini. Semoga kita semua dapat bersatu padu dalam menjayakan matlamat kita ini.
Terima kasih.
Friday, February 19, 2010
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment