Sunday, December 12, 2010

Pendaftaran Sehingga 31 Disember

Assalamualaikum dan Salam 1 Malaysia.

Maaf sekali lagi kerana saya jarang kemaskini dan berkongsi maklumat terkini dalam blog ini. Sememangnya tiada perkembangan terbaru tentang Alumni MRSM Pendang ini.

Saya akan teruskan dengan pendaftaran ahli Alumni MRSM Pendang sehingga 31 Disember 2010. Selepas tarikh tersebut, saya tidak menutup pendaftaran tetapi saya mahu mengemaskini data maklumat ahli-ahli yang telah berdaftar. Sehingga kini, seramai lebih 430 orang telah mendaftar, namun angka ini tidak dapat disahkan lagi sehinggalah saya mengemaskini data maklumat selepas tarikh tersebut.

Blog ini tetap ada dan bakal menyebarkan perkembangan terkini berkenaan hasrat saya dan beberapa rakan untuk melakukan program Alumni bersama pihak maktab pada tahun 2011 sempena Ulangtahun MRSM Pendang ke-10.

Saya berharap masih mendapat sokongan dari kalian semua, termasuk sebarang idea berkenaan projek yang bakal dijalankan.

Terima kasih.

Saturday, September 4, 2010

Salam Aidilfitri Untuk Semua

Assalamualaikum dan Salam 1Malaysia.

Tiada apa untuk saya coretkan dalam entri kali ini. Saya cuma mahu menyeru dan merayu kepada pelawat blog ini supaya dapat mengajak rakan-rakan alumni yang lain untuk mendaftar sebagai ahli alumni dengan mengisi online registration di bahagian bawah laman blog ini. Saya akan menyiapkan senarai akhir ahli-ahli alumni ini pada bulan Disember nanti dan akan menyerahkan pada pihak pentadbiran MRSM Pendang pada awal tahun hadapan.

Seperti yang saya canangkan sebelum ini, saya dan beberapa rakan alumni lain akan merancang mengadakan sebuah program sempena Ulangtahun MRSM Pendang ke-10 pada April 2011. Senarai nama alumni ini adalah sebagai penggerak kepada program tersebut, di mana ianya dapat meyakinkan pihak pentadbiran MRSM Pendang tentang kesepaduan kita sekaligus dapat melicinkan perjalanan program akan datang dengan adanya maklumat alumni yang berminat menyertainya.

Harapan ini bakal digembeling oleh saya dan beberapa rakan alumni dari angkatan pertama (first batch). Dan mungkin juga wujud keterlibatan dari batch yang lain untuk memudahkan perhubungan sesama alumni. Walaubagaimanapun, komitmen yang tinggi diperlukan dalam menjayakan impian ini.

Akhir kata, di kesempatan ini, saya secara peribadi ingin mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri. Maaf Zahir Batin. Semoga kalian selamat tiba di kampung halaman masing-masing dan diharapkan lebaran kali ini memberi seribu makna dan kebahagiaan kepada kalian.

Jumpa lagi di entri seterusnya selepas Hari Raya Aidilfitri nanti.

Wednesday, August 11, 2010

Beribu Ampun dan Teruskan Menyokong

Assalamualaikum dan Salam Ramadhan.

Sebelum moderator menulis lanjut dalam entri ini, moderator memohon beribu-ribu ampun kerana telah membiarkan laman blog ini tanpa sebarang berita dan perkembangan terkini mengenai Alumni MRSM Pendang. Bukan sengaja tetapi kebelakangan ini moderator tidak dapat lari daripada kerja-kerja hakiki moderator kepada majikan universiti dan juga penglibatan moderator dalam beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO). Maka, sekali lagi moderator meminta maaf di atas kesulitan untuk membangunkan blog ini dan juga mengumpulkan semua data-data alumni yang ada. Perancangan moderator dan beberapa rakan-rakan lain untuk mengadakan perbincangan dengan pihak maktab berkenaan projek alumni juga tertangguh.

Namun begitu, moderator tidak akan berputus asa kerana langkah pertama telah dijalankan. Tak akan mahu berpatah balik dan berhenti di tengah jalan. Cuma apa yang moderator mahukan daripada semua ahli dan rakan-rakan yang lain adalah teruskan mendaftar kerana bilangan ahli yang mendaftar masih belum mencapai sasaran yang dikehendaki. Moderator menyarankan bahawa ahli-ahli boleh menyebarakan berita tentang pendaftaran alumni di blog ini kepada sahabat-sahabat lain di luar sana supaya mereka boleh mendaftar sebagai ahli alumni dalam masa terdekat.

Mungkin semua pihak termasuk moderator sendiri masih belum nampak lagi perkembangan projek yang dirancang dan juga pembangunan laman blog ini sendiri. Moderator akan mengambil masa untuk berfikir sama ada mahu bekerjasama dengan beberapa rakan lain untuk sama-sama membangunkan laman blog ini sebagai satu usaha ke arah kewujudan hentian maklumat dan ikatan antara kita semua. InsyaAllah ianya akan berkembang jika mendapat bantuan dan kerjasama dari pihak-pihak yang berminat.

Walaubagaimanapun, semua bekas pelajar MRSM Pendang perlu bekerjasama mendaftar sebagai ahli alumni terlebih dahulu. Kemudian, serahkan perancangan dan pelaksanaan projek kepada moderator dan rakan-rakan untuk tindakan lanjut. Jika ada sebarang perkembangan, kami tidak teragak-agak untuk menyebarkannya di laman blog ini untuk makluman bersama.

Maka, teruskan menyokong projek ini. Terima kasih.

Monday, April 26, 2010

Perancangan Tergendala

Maaf kepada rakan sekalian. Merujuk pada tajuk di atas, perancangan yang dimaksudkan ialah perancangan moderator untuk melawat MRSM Pendang dan membawa serta mempersembahkan database keahlian Alumni kepada pihak pengurusan MRSM Pendang.

Nampaknya perancangan ini tergendala lagi pada bulan April ini. Perancangan ini telah dibuat sejak bulan Mac lagi. Mungkin perancangan ini akan terus dirancangan dari bulan ke bulan seterusnya. Tetapi jika dapat dibuat secepat mungkin, ianya akan memudahkan perancangan besar tahun hadapan.

Dalam pada itu, keahlian berdaftar dalam Sistem Keahlian Alumni MRSM Pendang sudah mencecah angka 400 orang. Statistik ini amat memberangsangkan dan ianya sekaligus akan memenuhkan database sebelum ianya ditunjukkan kepada pihak pengurusan MRSM Pendang.

Namun begitu, moderator masih percaya masih ada yang belum mendaftar. Moderator juga belum membuat proses penapisan maklumat keahlian kerana kekangan masa, tetapi moderator sekali lagi percaya bahawa sesiapa yang mendaftar merupakan sebenar-benarnya bekas pelajar MRSM Pendang. Sekilas pandang, kebanyakan ahli Alumni juga masih belajar di universiti, maklum lah dengan usia MRSM Pendang ini, ramai bekas pelajarnya masih menyambungkan pengajian di universiti dalam atau luar negara. Manakala, tiga angkatan (batch teratas) telah melahirkan bekas pelajar yang mempunyai kerjaya yang hebat.

Maka dengan itu, teruskan mendaftar kepada yang belum, dan kepada yang sudah, bantulah moderator dengan mengajak kepada yang belum untuk mendaftar di sini.

Terima kasih.

Saturday, April 17, 2010

Selamat Hari Lahir ke-9

Laman Blog ini mengambil kesempatan untuk mengucapkan Selamat Hari Lahir MRSM Pendang Ke-9 pada 16 April 2010. Sudah genap 9 tahun MRSM Pendang beroperasi menabur bakti dan mendidik anak bangsa.

Semoga MRSM Pendang terus sukses dengan perkhidmatan dan pengajaran yang diberikan kepada para pelajarnya. Kami dari pihak Alumni MRSM Pendang (dari angkatan pertama hingga ke angkatan terkini) sentiasa menyokong dan mengambil berat tentang perkembangan MRSM Pendang walaupun silih berganti guru-guru di dalamnya.

InsyaAllah pada Ulangtahun Ke-10 tahun hadapan, pihak Alumni akan berusaha untuk mengadakan sesuatu untuk meraikannya di MRSM Pendang. Semoga dalam tempoh setahun ini sudah cukup memberi ruang dan peluang untuk kami merancang sesuatu yang bermakna buat bekas pelajar, guru-guru dan MRSM itu sendiri.