Friday, February 26, 2010

Salam Maulidur Rasul 1431H

Di kesempatan cuti pada hari ini, moderator ingin mengucapkan salam Maulidur Rasul 1431H kepada semua pembaca laman blog ini terutama ahli Alumni MRSM Pendang dan juga guru-guru MRSM Pendang.

Marilah kita sama-sama memperbanyakkan selawat ke atas junjungan besar kita, Nabi Muhammad SAW, tidak kira sebelum atau selepas solat, mahupun kita mempunyai masa lapang dan juga ketika kita sebagai umat akhir zaman mengingat baginda dalam kehidupan kita. Di samping itu, dengan cara mengamalkan sunnah Rasulullah SAW, insyaAllah kita juga akan memperolehi syafaat dan pahala yang tak terhingga.

Sebelum ini, moderator mahu mengambil kesempatan cuti ini untuk ke Pendang dari Bangi, namun masa dan hal-hal lain menghalang niat moderator. Moderator terpaksa melakukan perkara mustahak pada hujung minggu ini dan mengendalikan serta menghadiri beberapa majlis yang sinonim dengan moderator. Oleh yang demikian, moderator berkemungkinan akan ke Pendang pada bulan hadapan untuk berjumpa dengan Pengetua dan beberapa guru yang lain dalam usaha menyampaikan hasrat kita dalam kumpulan Alumni ini. Maka, teruskan menyokong dan mendaftar dalam SMA yang disedikan di bahagian bawah laman ini.

Terima kasih.

Tuesday, February 23, 2010

Teruskan Mendaftar

Setakat ini, jumlah keseluruhan keahlian Alumni yang moderator terima hanya 230 orang (10 pagi, 23 Februari 2010). Moderator fikir jumlah ini belum cukup berbanding jumlah sebenar bekas pelajar MRSM Pendang.

Kebanyakan yang mendaftar rata-ratanya masih menuntut di IPTA/IPTS. Tidak ramai bekas pelajar batch pertama, kedua dan ketiga yang mendaftar lagi. Tidak keterlaluan jika moderator katakan, sebenarnya moderator sendiri mensasarkan angkatan yang 'tua' ini dalam keahlian Alumni, namun sambutan daripada mereka amat sedikit. Apa-apa pun moderator mengucapkan jutaan terima kasih kepada sesiapa yang sudah mendaftar, termasuk angkatan yang 'muda' kerana memberi komitmen yang jitu.

Maka, dengan ini, sekali lagi moderator mengharap agar lebih ramai lagi bekas pelajar MRSM Pendang yang mendaftar dalam Sistem Maklumat Alumni (SMA) yang diwujudkan di bahagian bawah laman ini. Kepada rakan-rakan yang sudah mendaftar, sarankan kepada rakan-rakan lain yang belum negikut jejak langkah anda untuk mendaftar di sini. Moderator yakin ramai yang mengetahui hal ini dengan membaca group dalam Facebook, tetapi ambil mudah perkara ini dengan tidak mendaftar langsung.

Moderator amat mengharap sekali lagi. Database yang dikumpulkan ini akan moderator bawakan ke pihak pentadbiran MRSM Pendang untuk tindakan lanjut, dan kebetulan Pengetua MRSM Pendang sekarang juga bergantung kepada database ini untuk menjemput anda semua ke Majlis Sambutan Tahun Ke-10 MRSM Pendang pada Oktober nanti. Memang banyak masa lagi, tetapi jangan lengahkannya. Moderator sedang menyusun masa untuk mengadakan lawatan ke MRSM Pendang dalam sebulan dua ini, bukan dengan tangan kosong, tetapi dengan kertas kerja Majlis Sambutan Ulangtahun Ke-10 MRSM Pendang pada 2011 dan kertas kerja penubuhan organisasi Alumni MRSM Pendang (sebelum kita dapat mewujudkan sendiri ANSARA Pendang) serta membawa salinan database keahlian Alumni, dan semua dokumen ini akan ditunjukkan kepada Pengetua untuk tindakan lanjut.

Oleh yang demikian, semua perkara ini memerlukan komitmen dan sokongan dari anda semua. Amat mudah, anda hanya perlu mendaftar di SMA sahaja. Moderator yang akan meneruskan tindakan selanjutnya. Segala kerjasama dan bantuan dari anda semua amatlah dialu-alukan dan didahului dengan ucapan jutaan terima kasih.

Friday, February 19, 2010

Kemusykilan Keahlian Alumni

Moderator terpanggil untuk menulis entri susulan pertanyaan yang dianggap bernas oleh beberapa ahli berdaftar di sini. Soalannya lebih kurang sama dengan pertanyaan sebelumnya, namun ia lebih menjurus kepada keahlian alumni itu sendiri.

Kesempatan ini, moderator mahu menerangkan tentang status keahlian alumni berdasarkan permasalahan atau kemusykilan yang timbul beberapa hari lepas. Izinkan moderator untuk singkap semula pertanyaan yang diajukan.

Situasinya begini. Jika seseorang itu daftar masuk ke MRSM Pendang untuk menduduki tingkatan 1 dan beliau tamat sehingga tingkatan 3 selepas peperiksaan PMR, kemudian beliau tidak sambung tahap menengah atas di MRSM Pendang kerana berpindah ke salah sebuah MRSM bertaraf BITARA. Maka, yang menjadi kemusykilannya, adakah atau bolehkah individu dalam situasi tersebut boleh mendaftar sebagai Alumni MRSM Pendang?!

Jawapan moderator pula senang dan jawapan ini berdasarkan kehendak dan konsep yg ditentukan oleh moderator sendiri mengikut kesesuaian yang sudah diambilkira. Orang tersebut jika masih belajar di MRSM lain (BITARA) ketika ini, maka beliau tidak boleh (atau tidak layak) mendaftar sebagai Alumni MRSM Pendang. Tetapi jika beliau sudah tamat tingkatan 5 dan SPM di MRSM BITARA tersebut, maka beliau boleh menjadi Alumni MRSM Pendang dan juga MRSM BITARA itu sendiri.

Konsep yang digunapakai dalam menentukan peraturan ini amat mudah. Selagi seseorang itu masih belum tamat tingkatan 5 di MRSM yang seseorang itu belajar, maka beliau tidak boleh mendaftar sebagai Alumni MRSM terdahulu. Namun, jika seseorang itu sudah tamat belajar dan bergraduasi tingkatan 5 di MRSM tempat terakhir seseorang itu belajar, maka seseorang itu boleh mendaftar sebagai Alumni kedua-dua MRSM.

Sebelum ada orang yang tidak faham dan tidak berpuas hati dengan peraturan ini, moderator kena mengingatkan para pembaca dan ahli Alumni yang lain bahawa peraturan ini ditentukan oleh moderator sendiri dan sudah dibawa berbincang dengan beberapa orang Alumni lain. Maka, mungkin konsep ini boleh berubah. Tetapi, seperti yang moderator tekankan dalam perenggan di atas, konsepnya mudah, biarkan seseorang itu tamat belajar di MRSM dahulu baru boleh teringin nak daftar sebagai Alumni.

Moderator faham sistem Alumni ini bukannya sama dengan sistem ANSARA seperti di MRSM yang sudah lama bertapak di Malaysia. Sebab itu moderator tetapkan peraturan sebegini kerana mahu wujudkan sistem dan organisasi Alumni yang utuh dan bagus sebelum kita semua dapat wujudkan ANSARA Pendang. Lagipun, usia MRSM Pendang masih muda dan rata-rata ramai ahli Alumni masih lagi belajar sebagai mahasiswa universiti tak kira dalam atau luar negara. Hanya angkatan ke-empat dan ke atas sahaja yang mempunyai ahli yang sudah bekerja. Keadaan ini membolehkan konsep ini digunakan untuk memantapkan lagi organisasi Alumni dalam masa terdekat.

Walaubagaimanapun, moderator yakin mesti sudah ada bekas pelajar MRSM Pendang yang masih belajar di tingkatan 4 atau 5 di MRSM BITARA mendaftar di Sistem Maklumat Alumni MRSM Pendang. Maka, moderator tidak akan menghapuskannya malah akan menyimpan di database lain untuk dijadikan senarai simpanan menunggu (waiting list record). Dengan jawapan yang diberikan dalam entri ini, moderator juga tidak menghalang sesiapa bekas pelajar MRSM Pendang yang masih belajar di MRSM lain untuk mendaftar di SMA ini. Mungkin selepas ini pihak moderator akan menghubungi Alumni 'muda' ini untuk mendapat kepastian dahulu sebelum apa-apa tindakan dilakukan.

Maka, moderator berharap agar semua pembaca terutama para ahli Alumni yang sudah mendaftar mahupun baru berhasrat nak mendaftar supaya faham akan konsep peraturan ini. Semoga kita semua dapat bersatu padu dalam menjayakan matlamat kita ini.

Terima kasih.

Wednesday, February 17, 2010

Kiraan Angkatan (Batch)

Merujuk kepada pertanyaan daripada salah seorang Alumni yang sudah mendaftar, beliau keliru dengan penentuan angkatan (batch) bagi dirinya.

Situasinya begini. Beliau mendaftar masuk ke dalam MRSM Pendang sebagai pelajar tingkatan 4 pada tahun 2007 bersama dengan beberapa pelajar lain. Setelah mendaftar, mereka ini akan dicampurkan dengan sebilangan lagi pelajar tingkatan 4 yang sudah mendaftar di MRSM Pendang pada tiga tahun lepas (2004) sebagai pelajar tingkatan 1 dulu.

Maka, kemusykilan tercetus dalam otak pemikirannya, iaitu samada beliau dikategorikan antara batch ke-empat atau batch ke-tujuh?! Sebabnya, beliau merasakan bahawa dalam satu-satu kelas tingkatan 4 akan wujud dua angkatan (batch) iaitu batch ke-empat dan batch ke-tujuh.

Sememangnya, sangkaan itu adalah benar. Dan kiraan dan congakan terhahap angkatan keberapa adalah amat mudah. Ianya berdasarkan tahun kemasukan dan pendaftaran ke MRSM.

Dalam contoh situasi di atas, dalam kelas tingkatan 4 tersebut, pelajar tingkatan 4 yang baru mendaftar masuk MRSM sebagai tingkatan 4 adalah merupakan ahli batch ke-tujuh kerana mereka mendaftar pada tahun 2007. Manakala, para pelajar tingkatan 4 yang sudah lama mendaftar (sejak tingkatan1 ketika dahulu), mereka ini pula diletakkan dalam batch ke-empat kerana mereka mendaftar pada tahun 2004.

Cuma akan wujud situasi senior-junior dalam satu-satu kelas itu. Itu tidak menjadi masalah, dan bagi pihak Alumni, situasi itu tidak ada kena mengena dengan kami. Moderator cuma mahu mengesan angkatan mana setiap ahli Alumni mendaftar masuk ke MRSM ketika dahulu.

Semoga penjelasan ini dapat merungkai segala kekusutan dan kecelaruan dalam menetapkan angkatan keberapa bagi diri anda semua.

Terima kasih.

Tuesday, February 16, 2010

Tinjauan Lokasi Mastautin

Laman Blog ini sedang mengadakan sesi tinjauan (survey) terhadap lokasi bermastautin bagi semua Alumni MRSM Pendang. Soalan tinjauan berada di bahagian tepi laman blog ini. Tinjauan ini dibuka sehingga 31 Disember 2013.

Tinjauan ini diadakan untuk mengenalpasti kedudukan dan lokasi terkini anda. Ini disebabkan ramai di kalangan Alumni sudah bekerja (kebanyakannya jauh dari keluarga) dan paling ramai yang masih belajar dan menuntut di institusi pengajian tinggi atau kolej swasta (sudah tentu jauh dari keluarga). Ini menyebabkan sesetengah Alumni mempunyai alamat semasa.

Dan ada di antara Alumni telah mendirikan rumahtangga (berkahwin), sekaligus mereka bermastautin di lokasi berbeza.

Di samping itu, tinjauan ini juga mahu mengenalpasti negeri mana yang menjadi pilihan Alumni untuk bermastautin selepas menamatkan pengajian di MRSM Pendang. Dalam pada itu, moderator akan mengkaji cadangan untuk melantik wakil penyelaras bagi setiap negeri atau zon (seperti Utara, Tengah, Pantai Timur, Selatan, Sabah, Sarawak dan Luar Negara) dari kalangan ahli Alumni MRSM Pendang bagi memudahkan penyelarasan jika ada sebarang aktiviti atau program yang melibatkan semua Alumni.

Walaubagaimanapun, para bekas pelajar MRSM Pendang yang sudah mendaftar keahlian mahupun yang belum mendaftar, rajin-rajinlah mengundi di slot tinjauan tersebut.

Terima kasih.

Jangan Keliru Dengan Sambutan

Moderator telah dimaklumkan (dengan nada nasihat) ketika diberitahu tentang Sambutan Tahun Ke-10 MRSM Pendang oleh Timbalan Pengetua (Ko-kurikulum), Cikgu Ibrahim bahawa jangan terkeliru dengan nama sambutan tersebut.

Untuk pengetahuan semua bekas pelajar, MRSM Pendang secara rasmi telah dibuka serentak dengan pendaftaran kumpulan pertama Tingkatan 4 pada 16 April 2001. Maka, tarikh tersebut telah dijadikan 'tarikh lahir' MRSM Pendang.

Idea sambutan Tahun ke-10 MRSM Pendang seperti yang telah diuar-uarkan dalam entri sebelum ini, telah digagaskan oleh Pengetua sekarang merupakan hari untuk menyambut tahun yang kesepuluh sejak tahun 2001. Pihak pentadbiran MRSM Pendang telah memilih tarikh keramat iaitu 10.10.10 untuk meraikannya.

Moderator akan sedaya upaya berbincang dengan pihak pentadbiran MRSM Pendang sekarang untuk mengadakan satu lagi 'perayaan' iaitu Sambutan Ulangtahun ke-10 MRSM Pendang pada tarikh lahir MRSM Pendang iaitu 16 April 2011 (16.04.11). Tarikh sedemikian menunjukkan genap MRSM Pendang berusia 10 tahun.

Maka dengan itu, diminta semua bekas pelajar MRSM Pendang jangan keliru dengan dua sambutan ini, kerana namanya juga seakan-akan sama. Sambutan pada tahun ini telah ditetapkan oleh pihak pentadbiran manakala sambutan pada tahun depan hanya dalam cadangan tetapi pasti kedua-dua pihak (pentadbiran dan alumni) bersetuju untuk mengadakan majlis yang sama tahun depan.

Sama-sama kita menyokong dan menjayakannya.

Terima kasih.

Sambutan Tahun Ke-10 MRSM Pendang

Mengikut maklumat yang moderator terima baru-baru ini, pihak maktab akan mengadakan Sambutan Tahun ke-10 MRSM Pendang. Tarikh yang dipilih oleh pihak maktab ialah pada 10 Oktober 2010 (10.10.10).

Seperti yang tercatat dalam Takwim Tahun 2010 MRSM Pendang yang boleh didapati dalam laman web MRSM Pendang (sila klik di sini untuk melihat keseluruhan takwim), sambutan tersebut akan diadakan hanya dalam satu hari sahaja. Hari tersebut jatuh pada hari Ahad. Ini bermakna mungkin hari tersebut dianggap cuti bagi memberi laluan untuk menyambutnya (cuti untuk pelajar MRSM Pendang).

Setakat ini, tidak dimaklumkan secara terperinci jenis dan butir pengisian yang mahu dimuatkan dalam majlis sambutan tersebut. Apa yang boleh moderator katakan ialah pengetua berhasrat untuk menghimpunkan semua bekas pelajar (Alumni) MRSM Pendang, dari ambilan angkatan pertama sehingga yang terkini dalam satu majlis.

Walaubagaimanapun, laman blog ini boleh dianggap sebagai jalan alternatif terkini kerana dapat membantu pihak maktab untuk menghubungi bekas-bekas pelajar jika pihak maktab mahu membuat jemputan rasmi kepada semua bekas pelajar ke majlis tersebut melalui database yang disediakan. Maka, jangan berlengah lagi, isi borang maklumat peribadi di bahagian bawah laman ini.

Pihak moderator akan sentiasa mengemaskini berita tentang majlis sambutan ini dari semasa ke semasa jika mendapat sebarang maklumat dari sana untuk makluman semua bekas pelajar MRSM Pendang. Harap semua bekas pelajar menyokong laman blog ini.

Terima kasih.

Monday, February 15, 2010

Borang Maklumat Peribadi

Pihak moderator blog telah mewujudkan borang elektronik di bahagian bawah laman ini. Borang tersebut dinamakan sebagai Borang Maklumat Peribadi Alumni MRSM Pendang.

Seperti dimaklumkan dalam post sebelum ini, borang ini dijadikan medium untuk bekas-bekas pelajar MRSM Pendang bagi mengemaskini data peribadi terkini supaya pihak moderator dapat mewujudkan database bekas pelajar. Database ini akan dilengkapkan bagi tujuan tertentu dalam usaha mewujudkan ANSARA Pendang dan sebagai permulaan kepada aktiviti-aktiviti anjuran MRSM kepada Alumni.

Diharapkan kepada semua bekas pelajar MRSM Pendang, tidak kira dari mana-mana angkatan (batch) supaya dapat meluangkan masa untuk mengisi borang di bawah bagi kepentingan bersama.

Terima kasih.

Selamat Datang

Selamat Datang ke Laman Blog Alumni MRSM Pendang, Kedah.

Tujuan Blog ini diwujudkan adalah untuk mengumpul dan menghimpunkan maklumat peribadi terkini bekas pelajar MRSM Pendang untuk dijadikan database lengkap pihak Jawatankuasa Penaja Alumni MRSM Pendang.

Apabila database ini lengkap (atau hampir lengkap), ianya akan digunakan untuk menghubungi ahli-ahli bekas pelajar jika ada apa-apa jemputan majlis atau program tertentu melibatkan MRSM Pendang selepas ini. Ia juga dapat membantu pihak Jawatankuasa Penaja Alumni MRSM Pendang untuk mewujudkan ANSARA Pendang jika database kita lengkap dan ahli-ahlinya bersetuju untuk menubuhkan cawangan tersebut.

Walaubagaimanapun, tujuan utama blog ini dapat membantu pihak pengurusan MRSM Pendang untuk menyediakan database para alumni dari setiap angkatan (batch) sejak tahun 2001.

Semoga semua bekas pelajar dapat memberi kerjasama yang baik dalam merealisasikan impian ini.

Terima kasih.