Sunday, December 12, 2010

Pendaftaran Sehingga 31 Disember

Assalamualaikum dan Salam 1 Malaysia.

Maaf sekali lagi kerana saya jarang kemaskini dan berkongsi maklumat terkini dalam blog ini. Sememangnya tiada perkembangan terbaru tentang Alumni MRSM Pendang ini.

Saya akan teruskan dengan pendaftaran ahli Alumni MRSM Pendang sehingga 31 Disember 2010. Selepas tarikh tersebut, saya tidak menutup pendaftaran tetapi saya mahu mengemaskini data maklumat ahli-ahli yang telah berdaftar. Sehingga kini, seramai lebih 430 orang telah mendaftar, namun angka ini tidak dapat disahkan lagi sehinggalah saya mengemaskini data maklumat selepas tarikh tersebut.

Blog ini tetap ada dan bakal menyebarkan perkembangan terkini berkenaan hasrat saya dan beberapa rakan untuk melakukan program Alumni bersama pihak maktab pada tahun 2011 sempena Ulangtahun MRSM Pendang ke-10.

Saya berharap masih mendapat sokongan dari kalian semua, termasuk sebarang idea berkenaan projek yang bakal dijalankan.

Terima kasih.

Saturday, September 4, 2010

Salam Aidilfitri Untuk Semua

Assalamualaikum dan Salam 1Malaysia.

Tiada apa untuk saya coretkan dalam entri kali ini. Saya cuma mahu menyeru dan merayu kepada pelawat blog ini supaya dapat mengajak rakan-rakan alumni yang lain untuk mendaftar sebagai ahli alumni dengan mengisi online registration di bahagian bawah laman blog ini. Saya akan menyiapkan senarai akhir ahli-ahli alumni ini pada bulan Disember nanti dan akan menyerahkan pada pihak pentadbiran MRSM Pendang pada awal tahun hadapan.

Seperti yang saya canangkan sebelum ini, saya dan beberapa rakan alumni lain akan merancang mengadakan sebuah program sempena Ulangtahun MRSM Pendang ke-10 pada April 2011. Senarai nama alumni ini adalah sebagai penggerak kepada program tersebut, di mana ianya dapat meyakinkan pihak pentadbiran MRSM Pendang tentang kesepaduan kita sekaligus dapat melicinkan perjalanan program akan datang dengan adanya maklumat alumni yang berminat menyertainya.

Harapan ini bakal digembeling oleh saya dan beberapa rakan alumni dari angkatan pertama (first batch). Dan mungkin juga wujud keterlibatan dari batch yang lain untuk memudahkan perhubungan sesama alumni. Walaubagaimanapun, komitmen yang tinggi diperlukan dalam menjayakan impian ini.

Akhir kata, di kesempatan ini, saya secara peribadi ingin mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri. Maaf Zahir Batin. Semoga kalian selamat tiba di kampung halaman masing-masing dan diharapkan lebaran kali ini memberi seribu makna dan kebahagiaan kepada kalian.

Jumpa lagi di entri seterusnya selepas Hari Raya Aidilfitri nanti.

Wednesday, August 11, 2010

Beribu Ampun dan Teruskan Menyokong

Assalamualaikum dan Salam Ramadhan.

Sebelum moderator menulis lanjut dalam entri ini, moderator memohon beribu-ribu ampun kerana telah membiarkan laman blog ini tanpa sebarang berita dan perkembangan terkini mengenai Alumni MRSM Pendang. Bukan sengaja tetapi kebelakangan ini moderator tidak dapat lari daripada kerja-kerja hakiki moderator kepada majikan universiti dan juga penglibatan moderator dalam beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO). Maka, sekali lagi moderator meminta maaf di atas kesulitan untuk membangunkan blog ini dan juga mengumpulkan semua data-data alumni yang ada. Perancangan moderator dan beberapa rakan-rakan lain untuk mengadakan perbincangan dengan pihak maktab berkenaan projek alumni juga tertangguh.

Namun begitu, moderator tidak akan berputus asa kerana langkah pertama telah dijalankan. Tak akan mahu berpatah balik dan berhenti di tengah jalan. Cuma apa yang moderator mahukan daripada semua ahli dan rakan-rakan yang lain adalah teruskan mendaftar kerana bilangan ahli yang mendaftar masih belum mencapai sasaran yang dikehendaki. Moderator menyarankan bahawa ahli-ahli boleh menyebarakan berita tentang pendaftaran alumni di blog ini kepada sahabat-sahabat lain di luar sana supaya mereka boleh mendaftar sebagai ahli alumni dalam masa terdekat.

Mungkin semua pihak termasuk moderator sendiri masih belum nampak lagi perkembangan projek yang dirancang dan juga pembangunan laman blog ini sendiri. Moderator akan mengambil masa untuk berfikir sama ada mahu bekerjasama dengan beberapa rakan lain untuk sama-sama membangunkan laman blog ini sebagai satu usaha ke arah kewujudan hentian maklumat dan ikatan antara kita semua. InsyaAllah ianya akan berkembang jika mendapat bantuan dan kerjasama dari pihak-pihak yang berminat.

Walaubagaimanapun, semua bekas pelajar MRSM Pendang perlu bekerjasama mendaftar sebagai ahli alumni terlebih dahulu. Kemudian, serahkan perancangan dan pelaksanaan projek kepada moderator dan rakan-rakan untuk tindakan lanjut. Jika ada sebarang perkembangan, kami tidak teragak-agak untuk menyebarkannya di laman blog ini untuk makluman bersama.

Maka, teruskan menyokong projek ini. Terima kasih.

Monday, April 26, 2010

Perancangan Tergendala

Maaf kepada rakan sekalian. Merujuk pada tajuk di atas, perancangan yang dimaksudkan ialah perancangan moderator untuk melawat MRSM Pendang dan membawa serta mempersembahkan database keahlian Alumni kepada pihak pengurusan MRSM Pendang.

Nampaknya perancangan ini tergendala lagi pada bulan April ini. Perancangan ini telah dibuat sejak bulan Mac lagi. Mungkin perancangan ini akan terus dirancangan dari bulan ke bulan seterusnya. Tetapi jika dapat dibuat secepat mungkin, ianya akan memudahkan perancangan besar tahun hadapan.

Dalam pada itu, keahlian berdaftar dalam Sistem Keahlian Alumni MRSM Pendang sudah mencecah angka 400 orang. Statistik ini amat memberangsangkan dan ianya sekaligus akan memenuhkan database sebelum ianya ditunjukkan kepada pihak pengurusan MRSM Pendang.

Namun begitu, moderator masih percaya masih ada yang belum mendaftar. Moderator juga belum membuat proses penapisan maklumat keahlian kerana kekangan masa, tetapi moderator sekali lagi percaya bahawa sesiapa yang mendaftar merupakan sebenar-benarnya bekas pelajar MRSM Pendang. Sekilas pandang, kebanyakan ahli Alumni juga masih belajar di universiti, maklum lah dengan usia MRSM Pendang ini, ramai bekas pelajarnya masih menyambungkan pengajian di universiti dalam atau luar negara. Manakala, tiga angkatan (batch teratas) telah melahirkan bekas pelajar yang mempunyai kerjaya yang hebat.

Maka dengan itu, teruskan mendaftar kepada yang belum, dan kepada yang sudah, bantulah moderator dengan mengajak kepada yang belum untuk mendaftar di sini.

Terima kasih.

Saturday, April 17, 2010

Selamat Hari Lahir ke-9

Laman Blog ini mengambil kesempatan untuk mengucapkan Selamat Hari Lahir MRSM Pendang Ke-9 pada 16 April 2010. Sudah genap 9 tahun MRSM Pendang beroperasi menabur bakti dan mendidik anak bangsa.

Semoga MRSM Pendang terus sukses dengan perkhidmatan dan pengajaran yang diberikan kepada para pelajarnya. Kami dari pihak Alumni MRSM Pendang (dari angkatan pertama hingga ke angkatan terkini) sentiasa menyokong dan mengambil berat tentang perkembangan MRSM Pendang walaupun silih berganti guru-guru di dalamnya.

InsyaAllah pada Ulangtahun Ke-10 tahun hadapan, pihak Alumni akan berusaha untuk mengadakan sesuatu untuk meraikannya di MRSM Pendang. Semoga dalam tempoh setahun ini sudah cukup memberi ruang dan peluang untuk kami merancang sesuatu yang bermakna buat bekas pelajar, guru-guru dan MRSM itu sendiri.

Wednesday, March 31, 2010

Teruskan Bersama

Setakat entri ini ditulis, jumlah keahlian yang berdaftar sebagai Alumni MRSM Pendang adalah seramai 382 orang. Bagi pihak moderator, angka ini amat memberangsangkan. Namun begitu, moderator percaya masih ada segelintir dari kalangan rakan-rakan kita yang masih belum berdaftar di laman ini. Maka, marilah kita sama-sama mengajak rakan seperjuangan kita yang lain. Follower juga sudah meningkat kepada 68 orang.

Mungkin pada ketika ini laman ini menumpukan terhadap proses pendaftaran keahlian Alumni dan ramai melihat laman ini tiada fungsi lain selain daripada itu. Walaubagaimanapun, laman ini masih dalam proses penambahbaikan dari segi kandungan dan penyampaian. Dalam pada itu, pihak moderator telah merancang mengadakan siri "Biografi Alumni" setiap dua minggu (jika tiada aral melintang). Mungkin dalam masa terdekat, siri pertama akan diterbitkan dalam laman ini untuk perkongsian bersama.

Oleh yang demikian, pihak moderator amat berharap agar semua ahli Alumni dapat masih bersama dengan laman ini setiap masa, setiap hari, setiap minggu, setiap bulan dan setiap tahun. InsyaAllah pihak moderator akan sentiasa memperbaiki isi kandungan laman ini dari semasa ke semasa bagi kepentingan bersama.

Terima kasih.

Monday, March 15, 2010

SPM 2009: Tahniah Para Pelajar MRSM Pendang

Keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2009 telah diumumkan dan dikeluarkan pada Khamis lepas. Seperti biasa, terpancar lah berbagai-bagai riak wajah dan emosi di kalangan bekas pelajar sekolah di seluruh negara setelah mengambil keputusan di sekolah masing-masing.

Tidak ketinggalan juga kepada bekas pelajar MRSM Pendang yang sudah menduduki SPM tahun 2009. Moderator mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada semua pelajar tersebut. Kepada yang mendapat keputusan cemerlang, tahniah sekali lagi manakala kepada yang mendapat keputusan kurang cemerlang dan tidak seperti yang disasarkan, berusahalah lagi kerana SPM ini bukanlah titik noktah untuk pelajaran anda.

Di kesempatan ini, moderator ingin mengumumkan kedudukan (atau ranking) MRSM Pendang dari kalangan kesemua MRSM seluruh Malaysia bagi keputusan SPM 2009. Mengikut sumber, MRSM Pendang berada di kedudukan ke-21 dari kalangan kesemua 36 buah MRSM seluruh negara. MRSM Taiping merupakan MRSM terbaik diikuti MRSM Tun Ghafar Baba (kedua) dan MRSM Pengkalan Chepa (ketiga).

Walaupun kedudukan MRSM Pendang berada di tangga ke-21, namun moderator menganggap ia adalah kedudukan yang bagus walaupun tidak selesa, kerana kedudukan tersebut boleh dibanggakan disebabkan usia MRSM Pendang yang baru mahu mencecah 10 tahun. Maka, golongan guru, pendidik dan pelajar haruslah berganding bahu mempertingkatkan budaya pembelajaran yang berkesan dalam suasana maktab yang komprehensif masa kini. Pihak moderator dan para alumni yang lain mendoakan yang terbaik pada masa kana datang untuk MRSM Pendang.

Terima kasih.

*Berikut adalah kedudukan MRSM mengikut keputusan SPM 2009.
1. Taiping;
2. Tun Ghaffar Baba;
3. Pengkalan Chepa;
4. Alor Gajah;
5. Pengkalan Hulu;
6. Pasir Salak;
7. Kuala Kubu Bharu;
8. Langkawi;
9. Batu Pahat;
10. Kuala Lipis;
11. Beseri;
12. Muar;
13. Kepala Batas;
14. Transkrian;
15. Lenggong
16. Kubang Pasu;
17. Kuantan;
18. Muadzam Shah;
19. Balik Pulau;
20. Pontian;
21. Pendang;
22. Kuala Krai;
23. PDRM Kulim;
24. Kuching;
25. Kuala Terengganu;
26. Kota Kinabalu;
27. Mersing;
28. Kuala Berang;
29. Serting;
30. Jeli;
31. Gemencheh;
32. Tawau;
33. Merbok;
34. Kota Putra;
35. Terendak; dan
36. Besut.

Sunday, March 7, 2010

Sambutan Tahun ke-10 MRSM Pendang (Mungkin) Dibatalkan

Moderator agak terkejut ketika sedang menjamu selera makan tengahari seorang diri di kedai makan biasa di Bangi. Pada tepat jam 1 tengahari tadi (hari ini, Ahad), moderator menerima panggilan daripada nombor talian tetap, itulah yang tertera dalam skrin telefon bimbit moderator. Setelah menjawab salamnya, rupa-rupanya Cikgu Ibrahim dalam talian. Ingatkan siapa, tiga kali moderator bertanyakan siapa ini kerana kurang jelas dengan suara dan keadaan sekelilinga yang bising. Bukannya tidak kenal, cuma dah lama tak dengar suara beliau.

Timbalan Pengetua (Ko-kurikulum) itu ada hajat untuk khabarkan sesuatu kepada moderator. Manakan tidak, selalunya moderator yang menghubungi beliau, kali ini beliau pula yang menelefon moderator. Beliau menyatakan bahawa Majlis Sambutan Tahun Ke-10 MRSM Pendang yang dicadangkan oleh Pengetua pada 10 Oktober 2010 berkemungkinan dibatalkan.

Sebab musababnya ialah tarikh tersebut amat dekat dengan persediaan pelajar tingkatan tiga menghadapi peperiksaan PMR. Jika majlis tersebut dilakukan, mungkin sedikit sebanyak akan mengganggu program persediaan yang diperlukan untuk pelajar-pelajar tingkatan tiga. Moderator fikirkan ianya perlu juga dibatalkan atas sebab yang sama. Moderator tidak mahu sambutan ini mengganggu pelajar sedia ada di sana, maklumlah sambutan ini melibatkan bekas pelajar yang agak ramai melalui jemputan yang akan diedarkan.

Walaubagaimanapun, keadaan ini tidak bermakna sambutan ulangtahun tidak diadakan langsung. Seperti dalam entri-entri sebelum ini, moderator sendiri mahu menjayakan Sambutan Ulangtahun ke-10 MRSM Pendang dan ianya akan diadakan pada tahun depan, iaitu pada tarikh 'hari lahir' MRSM Pendang itu sendiri.

Moderator dan beberapa rakan bekas pelajar akan sedaya upaya pergi ke MRSM Pendang pada bulan ini (jika tidak bulan depan) untuk berbincang dengan Pengetua bersama Cikgu Ibrahim berkenaan sambutan pada tahun depan. Moderator juga akan menyerahkan senarai pendaftaran Alumni yang saudara/i daftar dalam E-Borang Sistem Maklumat Alumni (SMA) di bahagian bawah laman blog ini.

Mungkin dalam beberapa minggu terdekat ini, moderator akan memaklumkan berita atau keadaan terkini yang berlaku dalam proses moderator merealisasikan 'reunion' besar ini. Semoga semua rakan bekas pelajar sudah maklum dengan pembatalan majlis sambutan tahun ini, walaupun ianya belum dimuktamadkan lagi. Secara peribadi, ianya seperti sudah dimuktamadkan.

Semoga berjumpa di lain lembaran.

Terima kasih.

Friday, February 26, 2010

Salam Maulidur Rasul 1431H

Di kesempatan cuti pada hari ini, moderator ingin mengucapkan salam Maulidur Rasul 1431H kepada semua pembaca laman blog ini terutama ahli Alumni MRSM Pendang dan juga guru-guru MRSM Pendang.

Marilah kita sama-sama memperbanyakkan selawat ke atas junjungan besar kita, Nabi Muhammad SAW, tidak kira sebelum atau selepas solat, mahupun kita mempunyai masa lapang dan juga ketika kita sebagai umat akhir zaman mengingat baginda dalam kehidupan kita. Di samping itu, dengan cara mengamalkan sunnah Rasulullah SAW, insyaAllah kita juga akan memperolehi syafaat dan pahala yang tak terhingga.

Sebelum ini, moderator mahu mengambil kesempatan cuti ini untuk ke Pendang dari Bangi, namun masa dan hal-hal lain menghalang niat moderator. Moderator terpaksa melakukan perkara mustahak pada hujung minggu ini dan mengendalikan serta menghadiri beberapa majlis yang sinonim dengan moderator. Oleh yang demikian, moderator berkemungkinan akan ke Pendang pada bulan hadapan untuk berjumpa dengan Pengetua dan beberapa guru yang lain dalam usaha menyampaikan hasrat kita dalam kumpulan Alumni ini. Maka, teruskan menyokong dan mendaftar dalam SMA yang disedikan di bahagian bawah laman ini.

Terima kasih.

Tuesday, February 23, 2010

Teruskan Mendaftar

Setakat ini, jumlah keseluruhan keahlian Alumni yang moderator terima hanya 230 orang (10 pagi, 23 Februari 2010). Moderator fikir jumlah ini belum cukup berbanding jumlah sebenar bekas pelajar MRSM Pendang.

Kebanyakan yang mendaftar rata-ratanya masih menuntut di IPTA/IPTS. Tidak ramai bekas pelajar batch pertama, kedua dan ketiga yang mendaftar lagi. Tidak keterlaluan jika moderator katakan, sebenarnya moderator sendiri mensasarkan angkatan yang 'tua' ini dalam keahlian Alumni, namun sambutan daripada mereka amat sedikit. Apa-apa pun moderator mengucapkan jutaan terima kasih kepada sesiapa yang sudah mendaftar, termasuk angkatan yang 'muda' kerana memberi komitmen yang jitu.

Maka, dengan ini, sekali lagi moderator mengharap agar lebih ramai lagi bekas pelajar MRSM Pendang yang mendaftar dalam Sistem Maklumat Alumni (SMA) yang diwujudkan di bahagian bawah laman ini. Kepada rakan-rakan yang sudah mendaftar, sarankan kepada rakan-rakan lain yang belum negikut jejak langkah anda untuk mendaftar di sini. Moderator yakin ramai yang mengetahui hal ini dengan membaca group dalam Facebook, tetapi ambil mudah perkara ini dengan tidak mendaftar langsung.

Moderator amat mengharap sekali lagi. Database yang dikumpulkan ini akan moderator bawakan ke pihak pentadbiran MRSM Pendang untuk tindakan lanjut, dan kebetulan Pengetua MRSM Pendang sekarang juga bergantung kepada database ini untuk menjemput anda semua ke Majlis Sambutan Tahun Ke-10 MRSM Pendang pada Oktober nanti. Memang banyak masa lagi, tetapi jangan lengahkannya. Moderator sedang menyusun masa untuk mengadakan lawatan ke MRSM Pendang dalam sebulan dua ini, bukan dengan tangan kosong, tetapi dengan kertas kerja Majlis Sambutan Ulangtahun Ke-10 MRSM Pendang pada 2011 dan kertas kerja penubuhan organisasi Alumni MRSM Pendang (sebelum kita dapat mewujudkan sendiri ANSARA Pendang) serta membawa salinan database keahlian Alumni, dan semua dokumen ini akan ditunjukkan kepada Pengetua untuk tindakan lanjut.

Oleh yang demikian, semua perkara ini memerlukan komitmen dan sokongan dari anda semua. Amat mudah, anda hanya perlu mendaftar di SMA sahaja. Moderator yang akan meneruskan tindakan selanjutnya. Segala kerjasama dan bantuan dari anda semua amatlah dialu-alukan dan didahului dengan ucapan jutaan terima kasih.

Friday, February 19, 2010

Kemusykilan Keahlian Alumni

Moderator terpanggil untuk menulis entri susulan pertanyaan yang dianggap bernas oleh beberapa ahli berdaftar di sini. Soalannya lebih kurang sama dengan pertanyaan sebelumnya, namun ia lebih menjurus kepada keahlian alumni itu sendiri.

Kesempatan ini, moderator mahu menerangkan tentang status keahlian alumni berdasarkan permasalahan atau kemusykilan yang timbul beberapa hari lepas. Izinkan moderator untuk singkap semula pertanyaan yang diajukan.

Situasinya begini. Jika seseorang itu daftar masuk ke MRSM Pendang untuk menduduki tingkatan 1 dan beliau tamat sehingga tingkatan 3 selepas peperiksaan PMR, kemudian beliau tidak sambung tahap menengah atas di MRSM Pendang kerana berpindah ke salah sebuah MRSM bertaraf BITARA. Maka, yang menjadi kemusykilannya, adakah atau bolehkah individu dalam situasi tersebut boleh mendaftar sebagai Alumni MRSM Pendang?!

Jawapan moderator pula senang dan jawapan ini berdasarkan kehendak dan konsep yg ditentukan oleh moderator sendiri mengikut kesesuaian yang sudah diambilkira. Orang tersebut jika masih belajar di MRSM lain (BITARA) ketika ini, maka beliau tidak boleh (atau tidak layak) mendaftar sebagai Alumni MRSM Pendang. Tetapi jika beliau sudah tamat tingkatan 5 dan SPM di MRSM BITARA tersebut, maka beliau boleh menjadi Alumni MRSM Pendang dan juga MRSM BITARA itu sendiri.

Konsep yang digunapakai dalam menentukan peraturan ini amat mudah. Selagi seseorang itu masih belum tamat tingkatan 5 di MRSM yang seseorang itu belajar, maka beliau tidak boleh mendaftar sebagai Alumni MRSM terdahulu. Namun, jika seseorang itu sudah tamat belajar dan bergraduasi tingkatan 5 di MRSM tempat terakhir seseorang itu belajar, maka seseorang itu boleh mendaftar sebagai Alumni kedua-dua MRSM.

Sebelum ada orang yang tidak faham dan tidak berpuas hati dengan peraturan ini, moderator kena mengingatkan para pembaca dan ahli Alumni yang lain bahawa peraturan ini ditentukan oleh moderator sendiri dan sudah dibawa berbincang dengan beberapa orang Alumni lain. Maka, mungkin konsep ini boleh berubah. Tetapi, seperti yang moderator tekankan dalam perenggan di atas, konsepnya mudah, biarkan seseorang itu tamat belajar di MRSM dahulu baru boleh teringin nak daftar sebagai Alumni.

Moderator faham sistem Alumni ini bukannya sama dengan sistem ANSARA seperti di MRSM yang sudah lama bertapak di Malaysia. Sebab itu moderator tetapkan peraturan sebegini kerana mahu wujudkan sistem dan organisasi Alumni yang utuh dan bagus sebelum kita semua dapat wujudkan ANSARA Pendang. Lagipun, usia MRSM Pendang masih muda dan rata-rata ramai ahli Alumni masih lagi belajar sebagai mahasiswa universiti tak kira dalam atau luar negara. Hanya angkatan ke-empat dan ke atas sahaja yang mempunyai ahli yang sudah bekerja. Keadaan ini membolehkan konsep ini digunakan untuk memantapkan lagi organisasi Alumni dalam masa terdekat.

Walaubagaimanapun, moderator yakin mesti sudah ada bekas pelajar MRSM Pendang yang masih belajar di tingkatan 4 atau 5 di MRSM BITARA mendaftar di Sistem Maklumat Alumni MRSM Pendang. Maka, moderator tidak akan menghapuskannya malah akan menyimpan di database lain untuk dijadikan senarai simpanan menunggu (waiting list record). Dengan jawapan yang diberikan dalam entri ini, moderator juga tidak menghalang sesiapa bekas pelajar MRSM Pendang yang masih belajar di MRSM lain untuk mendaftar di SMA ini. Mungkin selepas ini pihak moderator akan menghubungi Alumni 'muda' ini untuk mendapat kepastian dahulu sebelum apa-apa tindakan dilakukan.

Maka, moderator berharap agar semua pembaca terutama para ahli Alumni yang sudah mendaftar mahupun baru berhasrat nak mendaftar supaya faham akan konsep peraturan ini. Semoga kita semua dapat bersatu padu dalam menjayakan matlamat kita ini.

Terima kasih.

Wednesday, February 17, 2010

Kiraan Angkatan (Batch)

Merujuk kepada pertanyaan daripada salah seorang Alumni yang sudah mendaftar, beliau keliru dengan penentuan angkatan (batch) bagi dirinya.

Situasinya begini. Beliau mendaftar masuk ke dalam MRSM Pendang sebagai pelajar tingkatan 4 pada tahun 2007 bersama dengan beberapa pelajar lain. Setelah mendaftar, mereka ini akan dicampurkan dengan sebilangan lagi pelajar tingkatan 4 yang sudah mendaftar di MRSM Pendang pada tiga tahun lepas (2004) sebagai pelajar tingkatan 1 dulu.

Maka, kemusykilan tercetus dalam otak pemikirannya, iaitu samada beliau dikategorikan antara batch ke-empat atau batch ke-tujuh?! Sebabnya, beliau merasakan bahawa dalam satu-satu kelas tingkatan 4 akan wujud dua angkatan (batch) iaitu batch ke-empat dan batch ke-tujuh.

Sememangnya, sangkaan itu adalah benar. Dan kiraan dan congakan terhahap angkatan keberapa adalah amat mudah. Ianya berdasarkan tahun kemasukan dan pendaftaran ke MRSM.

Dalam contoh situasi di atas, dalam kelas tingkatan 4 tersebut, pelajar tingkatan 4 yang baru mendaftar masuk MRSM sebagai tingkatan 4 adalah merupakan ahli batch ke-tujuh kerana mereka mendaftar pada tahun 2007. Manakala, para pelajar tingkatan 4 yang sudah lama mendaftar (sejak tingkatan1 ketika dahulu), mereka ini pula diletakkan dalam batch ke-empat kerana mereka mendaftar pada tahun 2004.

Cuma akan wujud situasi senior-junior dalam satu-satu kelas itu. Itu tidak menjadi masalah, dan bagi pihak Alumni, situasi itu tidak ada kena mengena dengan kami. Moderator cuma mahu mengesan angkatan mana setiap ahli Alumni mendaftar masuk ke MRSM ketika dahulu.

Semoga penjelasan ini dapat merungkai segala kekusutan dan kecelaruan dalam menetapkan angkatan keberapa bagi diri anda semua.

Terima kasih.

Tuesday, February 16, 2010

Tinjauan Lokasi Mastautin

Laman Blog ini sedang mengadakan sesi tinjauan (survey) terhadap lokasi bermastautin bagi semua Alumni MRSM Pendang. Soalan tinjauan berada di bahagian tepi laman blog ini. Tinjauan ini dibuka sehingga 31 Disember 2013.

Tinjauan ini diadakan untuk mengenalpasti kedudukan dan lokasi terkini anda. Ini disebabkan ramai di kalangan Alumni sudah bekerja (kebanyakannya jauh dari keluarga) dan paling ramai yang masih belajar dan menuntut di institusi pengajian tinggi atau kolej swasta (sudah tentu jauh dari keluarga). Ini menyebabkan sesetengah Alumni mempunyai alamat semasa.

Dan ada di antara Alumni telah mendirikan rumahtangga (berkahwin), sekaligus mereka bermastautin di lokasi berbeza.

Di samping itu, tinjauan ini juga mahu mengenalpasti negeri mana yang menjadi pilihan Alumni untuk bermastautin selepas menamatkan pengajian di MRSM Pendang. Dalam pada itu, moderator akan mengkaji cadangan untuk melantik wakil penyelaras bagi setiap negeri atau zon (seperti Utara, Tengah, Pantai Timur, Selatan, Sabah, Sarawak dan Luar Negara) dari kalangan ahli Alumni MRSM Pendang bagi memudahkan penyelarasan jika ada sebarang aktiviti atau program yang melibatkan semua Alumni.

Walaubagaimanapun, para bekas pelajar MRSM Pendang yang sudah mendaftar keahlian mahupun yang belum mendaftar, rajin-rajinlah mengundi di slot tinjauan tersebut.

Terima kasih.

Jangan Keliru Dengan Sambutan

Moderator telah dimaklumkan (dengan nada nasihat) ketika diberitahu tentang Sambutan Tahun Ke-10 MRSM Pendang oleh Timbalan Pengetua (Ko-kurikulum), Cikgu Ibrahim bahawa jangan terkeliru dengan nama sambutan tersebut.

Untuk pengetahuan semua bekas pelajar, MRSM Pendang secara rasmi telah dibuka serentak dengan pendaftaran kumpulan pertama Tingkatan 4 pada 16 April 2001. Maka, tarikh tersebut telah dijadikan 'tarikh lahir' MRSM Pendang.

Idea sambutan Tahun ke-10 MRSM Pendang seperti yang telah diuar-uarkan dalam entri sebelum ini, telah digagaskan oleh Pengetua sekarang merupakan hari untuk menyambut tahun yang kesepuluh sejak tahun 2001. Pihak pentadbiran MRSM Pendang telah memilih tarikh keramat iaitu 10.10.10 untuk meraikannya.

Moderator akan sedaya upaya berbincang dengan pihak pentadbiran MRSM Pendang sekarang untuk mengadakan satu lagi 'perayaan' iaitu Sambutan Ulangtahun ke-10 MRSM Pendang pada tarikh lahir MRSM Pendang iaitu 16 April 2011 (16.04.11). Tarikh sedemikian menunjukkan genap MRSM Pendang berusia 10 tahun.

Maka dengan itu, diminta semua bekas pelajar MRSM Pendang jangan keliru dengan dua sambutan ini, kerana namanya juga seakan-akan sama. Sambutan pada tahun ini telah ditetapkan oleh pihak pentadbiran manakala sambutan pada tahun depan hanya dalam cadangan tetapi pasti kedua-dua pihak (pentadbiran dan alumni) bersetuju untuk mengadakan majlis yang sama tahun depan.

Sama-sama kita menyokong dan menjayakannya.

Terima kasih.

Sambutan Tahun Ke-10 MRSM Pendang

Mengikut maklumat yang moderator terima baru-baru ini, pihak maktab akan mengadakan Sambutan Tahun ke-10 MRSM Pendang. Tarikh yang dipilih oleh pihak maktab ialah pada 10 Oktober 2010 (10.10.10).

Seperti yang tercatat dalam Takwim Tahun 2010 MRSM Pendang yang boleh didapati dalam laman web MRSM Pendang (sila klik di sini untuk melihat keseluruhan takwim), sambutan tersebut akan diadakan hanya dalam satu hari sahaja. Hari tersebut jatuh pada hari Ahad. Ini bermakna mungkin hari tersebut dianggap cuti bagi memberi laluan untuk menyambutnya (cuti untuk pelajar MRSM Pendang).

Setakat ini, tidak dimaklumkan secara terperinci jenis dan butir pengisian yang mahu dimuatkan dalam majlis sambutan tersebut. Apa yang boleh moderator katakan ialah pengetua berhasrat untuk menghimpunkan semua bekas pelajar (Alumni) MRSM Pendang, dari ambilan angkatan pertama sehingga yang terkini dalam satu majlis.

Walaubagaimanapun, laman blog ini boleh dianggap sebagai jalan alternatif terkini kerana dapat membantu pihak maktab untuk menghubungi bekas-bekas pelajar jika pihak maktab mahu membuat jemputan rasmi kepada semua bekas pelajar ke majlis tersebut melalui database yang disediakan. Maka, jangan berlengah lagi, isi borang maklumat peribadi di bahagian bawah laman ini.

Pihak moderator akan sentiasa mengemaskini berita tentang majlis sambutan ini dari semasa ke semasa jika mendapat sebarang maklumat dari sana untuk makluman semua bekas pelajar MRSM Pendang. Harap semua bekas pelajar menyokong laman blog ini.

Terima kasih.

Monday, February 15, 2010

Borang Maklumat Peribadi

Pihak moderator blog telah mewujudkan borang elektronik di bahagian bawah laman ini. Borang tersebut dinamakan sebagai Borang Maklumat Peribadi Alumni MRSM Pendang.

Seperti dimaklumkan dalam post sebelum ini, borang ini dijadikan medium untuk bekas-bekas pelajar MRSM Pendang bagi mengemaskini data peribadi terkini supaya pihak moderator dapat mewujudkan database bekas pelajar. Database ini akan dilengkapkan bagi tujuan tertentu dalam usaha mewujudkan ANSARA Pendang dan sebagai permulaan kepada aktiviti-aktiviti anjuran MRSM kepada Alumni.

Diharapkan kepada semua bekas pelajar MRSM Pendang, tidak kira dari mana-mana angkatan (batch) supaya dapat meluangkan masa untuk mengisi borang di bawah bagi kepentingan bersama.

Terima kasih.

Selamat Datang

Selamat Datang ke Laman Blog Alumni MRSM Pendang, Kedah.

Tujuan Blog ini diwujudkan adalah untuk mengumpul dan menghimpunkan maklumat peribadi terkini bekas pelajar MRSM Pendang untuk dijadikan database lengkap pihak Jawatankuasa Penaja Alumni MRSM Pendang.

Apabila database ini lengkap (atau hampir lengkap), ianya akan digunakan untuk menghubungi ahli-ahli bekas pelajar jika ada apa-apa jemputan majlis atau program tertentu melibatkan MRSM Pendang selepas ini. Ia juga dapat membantu pihak Jawatankuasa Penaja Alumni MRSM Pendang untuk mewujudkan ANSARA Pendang jika database kita lengkap dan ahli-ahlinya bersetuju untuk menubuhkan cawangan tersebut.

Walaubagaimanapun, tujuan utama blog ini dapat membantu pihak pengurusan MRSM Pendang untuk menyediakan database para alumni dari setiap angkatan (batch) sejak tahun 2001.

Semoga semua bekas pelajar dapat memberi kerjasama yang baik dalam merealisasikan impian ini.

Terima kasih.